
“Bolehkah Kita Bercinta Dahulu?”
Engkau sekadar terpana. Seakan-akan masa terhenti buat dirimu sahaja. Perasaan apakah ini? Engkau bertanya. Tetapi jiwa dan hati mendiamkan diri, meninggalkan engkau tanpa jawapannya.
“Abang Ridhwan, Abang Ridhwan.” Tubuhmu digoncang dan engkau sedari. Terus tertarik keluar dari lamunan, dan menoleh ke kiri. Amiruddin. Junior yang engkau kasihi, sedang memaut lenganmu bersama wajah gembira, sambil tangan kanan menunjuk kepada skrin laptop di hadapannya. Yang engkau tatapi tadi.
“Yang ini pula gambar kami masa beraya.” Ujarnya gembira.
Engkau hanya terangguk-angguk sahaja. Tetapi masih tidak dapat melarikan diri dari wajah di dalam gambar tadi, yang terwujud pada laptop yang sama. Kini kelihatan wajah itu bersama Amiruddin dan keluarga. Ya, dia mengetahui bahawa Amiruddin punya kakak. Tetapi selama ini tidak pernah dihiraukannya. Tidak pernah dia ambil tahu siapa namanya. Tidak pernah dia ingin tahu bagaimana rupanya.
Tetapi kini, engkau hingga tertusuk. Hatimu seakan diragut. Hingga engkau kembali menyoal jiwa: Apakah mungkin hatiku dicuri sekadar melihat gambar sahaja?
Mustahil!
Engkau membentak di alam jiwa.
Malam itu tidurmu tidak lena. Mengharap musafir bersama para junior tamat segera. Kerana benakmu penuh dengan rasa tidak selesa. Seakan disergah sesuatu, dan engkau tahu namanya. Tetapi engkau takut untuk mengaku, kerana namanya adalah...
Cinta.
*******
Enam bulan engkau memasung sukma. Cuba menyisihkan. Saban waktu engkau berkata: “Mustahil dengan melihat gambar sahaja, hati telah dicuri. Ini tidak lain hanya syaitan yang ingin menyesatkan diri.”
Engkau taburkan dalam dirimu pelbagai alasan. Takut hubungan dengan Amiruddin terganggu jika engkau ikutkan hasratmu ini. Engkau nyatakan juga bahawa engkau tidak kenal dia, tidak pernah berjumpa bertentang mata, tidak pernah mengetahui bagaimananya dia. Itu semua engkau suburkan agar perasaan itu mati begitu sahaja. Tetapi malang seribu kali malang, perasaan itu terus subur dan membungakan rasa buak yang tidak mampu dihalang.
Tetapi engkau masih bertahan. Menyibukkan diri. Hinggalah pada satu hari, engkau menyedari bahawa dari takdir Tuhan engkau tidak akan mampu berlari.
Engkau menyebut namanya: “Seterusnya, Puteri Raihanah Maisarah!”
Dan dia menapak ke pentas itu dengan sopan sambil menunduk malu dipandang khalayak. Engkau sendiri, yang tidak menyangka tugasan sebagai pengerusi majlis pada hari itu membawa kepada pertemuan ini, berdebar-debar melihatnya.
Hanya sesaat masa. Tetapi waktu seakan terhenti sekali lagi, seperti kala engkau melihat gambarnya. Tinggal kali ini secara realiti, dia berada di hadapanmu wahai Ridhwan hambaNya!
Indah. Bersinar. Lembut. Sederhana.
Dan pantas engkau menundukkan wajahmu semula, kerana merasakan jika tidak engkau lakukan begitu, engkau akan terbakar dengan keindahannya. Jiwamu gemuruh, dan kini engkau tidak lagi mampu memberikan alasan. Kami cintakan dia! Seakan seluruh tubuh bersuara membentakmu, dan engkau tidak mampu menentangnya.
Ya. Aku cintakan dia.
Dan engkau akhirnya hanya mampu mengakuinya.
Dia kembali turun mendapatkan keluarganya, sedang engkau hanya mampu melirik sahaja. Mindamu berputar pesat. Perancangan disusun atur.
Perjalanan cintamu kau mulakan.
*******
Suasana Plymouth sejuk dan kelam. Sudah sepenggal setengah engkau menjejakkan kaki di sini sebagai penuntut ilmu. Tetapi tiada siapa mengetahui bahawa, cita-citamu lebih daripada itu.
“Aku datang ke tanah eropah ini, untuk menuntut pengalaman, agar aku menjadi manusia.”
Itu cita-cita sebenarmu. Bukan semata-mata ingin menjadi pelajar cemerlang dalam TESL yang engkau ceburi. Bukan semata-mata ingin menjadi guru. Kerana itu engkau gandakan usahamu untuk mengekspansikan potensi suaramu.
“Menjadi penasyid yang lain dari lain. Yang bukan pandai menyanyi, tetapi mampu memimpin pendengarnya. Yang bukan sekadar memberikan halwa telinga, tetapi turut menghidupkan jiwa!”
Itu cita-citamu. Tidak pernah engkau tinggal. Kerana itu engkau rajin menulis lagu-lagu baru dan menyanyikannya. Upload di YouTube, letak di dalam blog. Masuk ke alam universiti yang tidak ada pelbagai peraturan ketat, membuatkan engkau bebas menyusun hidupmu sebagaimana yang engkau mahu. Semua itu engkau gunakan sebagai peluang, bukan semata-mata ruang.
Siapa sangka hasil usahamu, engkau telah berjaya mendapat perhatian syarikat rakaman. Lebih unik, engkau terkenal sebagai “Artis Malaysia Yang Tiada Di Malaysia” kerana tatkala album sulungmu keluar bertemu masyarakat, engkau masih di sini meneruskan kehidupan.
Sorotan lampu populariti mengejari, dan namamu mula disebut-sebut. Facebook milikmu menjadi perhatian ramai. Segala apa yang engkau catat, semuanya menjadi perbincangan.
Namun engkau masih seperti biasa. Engkau jelas bahawa populariti bukan apa yang engkau kejar. Tetapi mahu mengubah satu industri, sekaligus memimpin masyarakat kembali kepada Ilahi. Maka engkau teruskan kerjamu, langkahanmu.
Di samping niatnya untuk belajar berdikari agar tidak menyusahkan Abah dan Ummi, niat untuk mengajak manusia kembali kepada Ilahi dengan wasilah seni kekal terpahat di dalam hati.
Sedang engkau menggelamun memikirkan perjalanan hayatmu, tiba-tiba komputermu berbunyi. Engkau mendapatkannya. Rupanya Skype milikmu wujud kenalan baru minta di’approve’. Engkau lihat namanya. Ketika itu juga engkau membeliakkan mata.
Puan Aisyah Humaira’.
Bukan engkau tidak kenal siapa dia. Bonda kepada Raihanah yang engkau cinta.
“Mungkin Aisyah lain.” Engkau menyedapkan hati. Lantas engkau approve. Baru sahaja engkau hendak berlalu dari komputermu itu, deringan panggilan kedengaran. Engkau terkejut melihat paparan pada desktop. Aisyah Humaira’ is calling. Debar. Namun memandangkan engkau baru sahaja meng’approve’, mustahil engkau punya alasan untuk berkata tiada di hadapan komputer hingga tidak mengangkat panggilannya.
Maka engkau sambut panggilan itu. Headphone engkau sangkut di kepala.
“Assalamu’alaikum. Ridhwan ke ni?” Suara bonda itu menggetarkan gegendang.
“Wa’alaikumussalam. Ya, ini saya.”
“Haa, dapat pun. Ridhwan apa khabar? Ini makcik Aisyah ni.”
“Aaa, Ridhwan tahu. Ridhwan sihat alhamdulillah.”
Dan kemudian engkau bersembang dengan bonda itu berkenaan kehidupanmu di Plymouth. Engkau ceritakan suasananya yang sering kelam dan hujan kala musim sejuk. Engkau ceritakan bagaimana cerianya masyarakat di sana tatkala matahari memunculkan diri, hingga ramai keluar ke padang menikmati cahaya mentari. Engkau kongsikan juga kebanggaan masyarakat sana, The Hoe yang punya Rumah Api itu.
Bonda itu kadangkala mencelah bertanya berkenaan pengajianmu, juga tidak ketinggalan bertanya akan kerjayamu. Engkau menceritakan segalanya. Kadangkala bonda itu tertawa. Teringat dikau akan ziarah ke rumah itu sebelum berangkat ke Plymouth, untuk bertemu Amiruddin buat kesekian kalinya, juga untuk melihat suasana kehidupan keluarga itu kerana cinta yang ada di dalam jiwamu. Bahkan, Bonda itu juga membangkitkan akan ziarahmu. Buat engkau rasa sungguh rindu.
“Em, makcik ni call bukan sebab apa. Makcik dengar, Ridhwan suka dengan Raihanah. Betulkah?”
Ibarat disambar halilintar, engkau rasa mahu jatuh dari kerusimu tika itu juga. Soalan yang muncul tiba-tiba di celah kemesraan bicara. Buat engkau sangat terkejut. Hingga engkau sendiri teragak-agak untuk memberikan respon balas.
“Makcik marah?” Itu soalanmu. Soalan dibalas soalan. Kerana engkau nyata risau.
“Tak adalah. Kalau betul, lagilah makcik suka.” Bonda itu tertawa.
“Oh. Legalah dengar makcik cakap macam itu. Ya, Ridhwan suka dengan Raihanah.”
“Haa, kenapa Ridhwan tak cakap masa datang rumah tempoh hari? Kan senang kalau cakap terus.”
“Raihanah muda lagi kan, Makcik? Lagipun, Ridhwan masa itu belum ada apa-apa nak tunjukkan bukti yang Ridhwan bersedia nak ambil anak orang jadi isteri.”
“Alhamdulillah. Senang la hati makcik dengar yang Ridhwan suka pada Raihanah. Tidak mengapa. Kita senyapkan dulu daripada Raihanah. Nanti makcik perlahan-lahan tanya dia.”
“Eh makcik, tak mengapalah. Dia muda lagi kan. Rilek-rilek sahaja.” Engkau berpesan. Engkau takut lain pula jadinya nanti.
“Tidak mengapa, Ridhwan jangan risau.”
Dan sembang-sembang seterusnya berjalan tanpa menyentuh perkara itu.
Malam itu, engkau sekadar berfikir panjang. Aturan apakah ini ya Allah? Engkau bertanya kepada Tuhan empunya langit dan bumi. Semuanya seperti diaturkan olehnya. Rancangmu, semaca pulang bercuti tahun hadapan baru hendak engkau luahkan hasrat ini. Siapa sangka Sang Bonda sendiri akan menghubungimu.
“Apakah ini petanda bahawa Engkau sedang membantuku?”
Tetapi engkau tidak pernah tahu.
Maka engkau biarkan sahaja apa yang berlaku. Sambil berpesan kepada dirimu bahawa engkau perlu melipat gandakan usaha. Perlu membuktikan betapa diri ini layak untuk punya seorang isteri. Layak mencintai. Layak dicintai.
Cinta bukan satu keseronokan nafsu. Kerana engkau sentiasa percaya – Kalau benar cinta, mesti mahu bersama ke syurgaNya. Apa-apa yang melemparkan ke neraka, itu bukan cinta namanya. Engkau kekal dengan prinsip itu.
Malam itu engkau berazam, engkau akan menjadi yang lebih baik lagi daripada hari ini.
Perjalanan cinta ini mesti engkau jadikan perjalanan yang diredhai Ilahi.
*******
Engkau sendiri tidak menyangka, sesuatu yang dirasakan ‘bantuan Tuhan’, rupanya datang bersamanya 1001 dugaan.
Engkau ditolak, tanpa engkau lakukan lamaran. Satu perkara yang paling kelakar pernah engkau dengar dalam sejarah insan, tetapi berlaku kepada dirimu di luar jangkaan. Rupa-rupanya Bonda kepada Raihanah sudah bertanya akan dirimu kepadanya, tanpa engkau ketahui.
Yang engkau perolehi hanyalah panggilan daripada Makcik Aisyah itu, menyatakan Raihanah menolak, tanpa engkau pernah menyebut pun suruh melamarnya. Saat itu engkau nyata bersedih hati, dan berduka beberapa ketika. Kelam Plymouth seakan kena dengan warna jiwamu saat itu.
Tetapi engkau tetap meneruskan hidup. Dan siapa menyangka, selepas 3 bulan berlalu, engkau mendapat panggilan lagi menyatakan bahawa engkau diterima Raihanah pula. Gembira, berbaur sangsi. Sudah tolak, terima pula?
Engkau hubungi Amiruddin saat itu, untuk kepastian. Agar tiada apa yang buruk terjadi.
“Hem, kakak ana yang sulung tu marah betul. Ana takut Raihanah ni kena paksa la Abang Ridhwan.”
Dan engkau rasa tidak sedap hati. Lantas engkau hantarkan pesan kepada Makcik Aisyah, agar jangan dipaksa-paksa. Nyata engkau juga tidak suka kalau Raihanah yang kau cintai itu terluka. Tetapi Makcik Aisyah meyakinkan, penerimaan semula ini adalah pilihan Raihanah sendiri, dan engkau dinasihatkan agar tidak peduli kepada kakak sulung yang berang pada diri. Lebih menenangkan jiwamu, Amiruddin menghubungi menyatakan benar apa yang dikatakan bondanya itu.
Engkau rasa sedikit lega. Bertambah lega apabila selepas itu, engkau mula berhubungan dengan Raihanah melalui email. Sebulan sekali. Berta’aruf. Berkongsi cerita. Dan engkau dapati, sepanjang perkongsian engkau dengan dia di dalam email, dia ceria-ceria sahaja. Engkau buat lawak, dia tertawa. Dia juga sudi menceritakan kehidupannya, apa yang dia suka dan sebagainya.
Engkau kira, semuanya berjalan lancar.
Engkau kira.
Tetapi siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku.
Engkau hanya manusia.
******
Engkau pulang bercuti, selepas dua tahun tidak pulang. Sambutan kepadamu sangat hangat. Memandangkan album yang engkau keluarkan mendapat perhatian yang amat menggalakkan. Walaupun namanya bercuti, tetapi engkau hakikatnya berkerja. Ke hulu ke hilir engkau dibawa syarikat rakaman untuk bertemu pendengar, untuk menghadiri temu ramah di stesen radio, dan tidak kurang juga memberikan ceramah memandangkan apa yang engkau nyanyikan itu punya nilai rohani dan motivasi.
Di tengah kegencaran kesibukan ini, engkau sempat luangkan masa menziarahi rakan-rakan. Bertemu dan bertukar cerita. Bermesra setelah sekian lama tidak berjumpa.
Tetapi siapa sangka, rakan-rakan yang engkau cinta itulah, yang membawa kisah buruk di dalam hayat yang engkau kira bahagia.
“Ridhwan.” Toriq bersuara. Nada sembang-sembang yang ceria tadi, jadi dingin secara tiba-tiba. Engkau memandang ke arahnya dengan senyuman yang masih bersisa.
“Kenapa?”
“Macam mana engkau dengan Raihanah?”
“Em? Ok je. Kenapa tiba-tiba tanya?”
“Taklah. Aku dengar engkau paksa dia.”
“Ha? Siapa cerita?”
“Adik aku. Dan kawan-kawan dia di universiti. Mereka cerita, katanya Raihanah menangis-nangis cerita fasal engkau paksa dia.”
Engkau tahu adik Toriq seuniversiti dengan Raihanah. Tetapi benarkah cerita ini? Engkau bertanya kepada diri. Namun, mustahil Toriq berbohong. Toriq itu sahabatmu semenjak kecil. Sekolah menengah bersamamu. Menjadi pengawas bersamamu. Melalui pelbagai pahit maung bersamamu. Engkau sendiri tidak sampai hati untuk menyatakan Toriq membawa cerita palsu.
“Betul ke ni Toriq?”
Engkau lihat Toriq mengangguk.
“Aku tak tahu pun.” Nadamu kecewa. Benar-benar kecewa. Kalau sampai Raihanah mengalirkan air mata, maka apakah makna engkau hidup di atas dunia? Tetapi engkau juga sangsi dengan kenyataan Toriq sebenarnya. Kerana nyata engkau selama ini berbalas email dengan Raihanah, dia kelihatan ceria sahaja. Namun sekali lagi engkau kata: Di dalam tulisan, mana tahu dia sembunyikan kesedihannya di balik cerianya tulisan dia?
Engkau mula rasa rapuh. Engkau kecewa. Berita ini nyata buat engkau tidak gembira.
-----------------------------------------------------------------------------
Cerita penuh untuk Cerpen ini akan diupload di LangitIlahi.Com sebelum hari ini bergerak pergi.
Nantikan updatenya ya!~ HilalAsyraf
http://langitilahi.com
0 comments:
Catat Ulasan