BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

ASSALAMUALAIKUM WRT.WBT.

Salam Sejahtera atas kamu duhai saudara Muslimku...

AHLAN WA SAHLAN MARHABAN

Semoga ziarah antum ke blog ini beroleh manfaat...

Muwasafat Tarbiyyah

10 Peribadi Muslim : As-Syahid Imam Hassan Al-Banna

INGAT 5 PERKARA SEBELUM 5 PERKARA

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Sabtu, 20 Jun 2026

Tafsiran ayat 34 surah Fussilat


Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

(Surah Fussilat: 34)

Ibn Kathir berkata: Iaitu jika ada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, maka tolaklah dengan cara yang lebih baik. Sebagaimana Umar R.A berkata: “Tolaklah menghukum orang yang melakukan maksiat kepada Allah dalam dirimu sepertimana bila engkau melakukan ketaatan kepada Allah dalam dirinya.”

Dan firman Allah SWT: (فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ) “apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib,” iaitu teman baik. Yakni, jika engkau berbuat baik kepada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, nescaya kebaikan itu akan membuatkannya untuk bersikap baik kepadamu, mencintaimu dan merinduimu, sehingga dia seakan-akan menjadi teman setia, dalam maksud mendekatimu dengan rasa kasih sayang dan berbuat baik. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 4/123)

Saidina Ali bin Abi Talib R.A pernah berkata kepada bekas hambanya: “Hai Qunbur, biarkan orang mencelamu dan lupakanlah. Pasti kamu akan diredai Allah sehingga menimbulkan kemarahan syaitan.” Ada orang mengatakan hukuman paling setimpal bagi orang bodoh ialah mendiamkan diri.

Penyair pernah berkata: “Orang bodoh, dicaci jangan, dicela jangan. Diam sahaja baginya lebih menyeksakan.”

Penyair lain pula bermadah:

                                                “Orang bodoh sukakan jawapan.

                                                         Melawannya bukan dengan ungkapan.

                                                                            Diam sahaja itulah jawapan.”

Justeru, Syeikh al-Maraghi berkata: Hapuskanlah kejahilan dan kebodohan orang kafir itu dengan cara yang baik. Maksudnya, balaslah keburukan mereka dengan kebaikan; hadapilah kekasaran-kekasaran mereka dengan kemaafan, dan hadapilah kemarahan mereka dengan kesabaran. Ini disebabkan sesungguhnya jika kamu bersabar dan memperlakukan mereka seperti itu pasti mereka akan malu sendiri sehingga mereka akan berhenti melakukannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/6073)

Abu Bakr Ibn al-‘Arabi berkata: Ayat ini dikhususkan terhadap orang-orang kafir iaitu berkaitan membalas dendam terhadap mereka. Akan tetapi lafaz ayat ini yang berbentuk umum dan kekal untuk dilaksanakan dalam kalangan sesama orang Islam. Berkaitan pandangan yang mengatakan ayat bermaksud: “Tolaklah kejahatan kamu dengan melakukan kebaikan selepasnya,” maka ia juga memberikan isyarat tentang kelalaian, dan kebaikannya ialah zikir, sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.

Riwayat Muslim (7033)

Golongan sufi berkata: “Termasuk dalam pengertian firman ini ialah tolaklah habuan keduniaan apabila ia mengganggu habuan akhirat dengan memilih habuan akhirat semata-mata.”

Ibn al-‘Arabi menyebut, Abu Bakar al-Fihri (gurunya) berkata kepada beliau: “Apabila berkumpul dua urusan kepadamu, yang satunya untuk dunia dan yang satu lagi untuk Allah SWT, maka utamakan yang untuk Allah SWT, maka dengan sebab itu kedua-duanya sekali akan engkau peroleh. Jika engkau utamakan dunia, mungkin kedua-duanya terlepas, dan boleh jadi engkau mendapat habuan dunia tetapi tidak diberkati.”

Ibn al-‘Arabi telah mengamalkan apa yang dipesan dan dia mendapati ia benar. Tidak syak lagi bahawa termasuk juga dalam pengertian ayat ini ialah menghindarkan sikap keras dan kasar. Demikianlah yang disifatkan melalui sabda (doa) Nabi SAW:

رَبِّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.”

Riwayat Muslim (4747)

Antara kefahaman lain yang dipetik daripada ayat yang dibincangkan ialah: Telusurilah cara hidup pemurah (dermawan), dan jangan mengharapkan ganjaran. Begitu juga, ucapkanlah salam kepada mereka yang tidak mengucapkan salam kepadamu. Terdapat banyak lagi contoh-contoh yang lain, tetapi maksudnya telah sedia dimaklumi (oleh semua), maka ikutilah cara tersebut. (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 5/593-595)

Perlahan-lahan aku menyingkap hikmah demi hikmah

 Menghadapi realiti kenyataan hidup yang penuh dengan mehnah ujian dan dugaan kini aku sedikit demi sedikit meleraikan bebenang yang terikat kemas dendam di hati. Sakit rupanya apabila kita simpan dendam dan kebencian dalam diri. Diri yang sakit... Aku tak mahu diri ini terus menerus dalam kesakitan dan dendam.

"Luka ditangan berdarah, luka di hati siapa yang tahu.." - Satu demi satu ayat terus menyinggah di telinga, terus ke akal dan masuk ke hati. Rupanya halus cara DIA menyembuhkan aku. Setiap bait kata yang ku dengari seakan semuanya sedang mahukan aku terus bersemangat. 

Awak tahu,,, ianya sakit sangat.... Bila kaki ini terpaksa terus berjalan dan berada di tempat yang menjatuhkan semangat dalam diri ini. Aku jatuh ke jurang yang mungkin tidak terlalu dalam, dunia sementara. Yang mana lagi berbaloi untuk kita kejar dan rangkul ia? dunia atau akhirat?. Begitulah ayat yang sering ku pujuk diri. Senyuman yang aku cuba ukirkan hari demi hari akhirnya ia boleh terlerai dengan mudah. Hati yang sukar menerima akhirnya dapat berlapang dada. Sesungguhnya Jalan menuju mudah itu, sebenarnya sangat susah. 

Biar aku ceritakan apa yang terjadi sepanjang proses "aku ingin sembuh dan tumbuh dewasa yang matang..."

Kaunseling, buku-buku yang menyembuhkan, ayat-ayat cinta dari-Nya, sentuhan ruhiyyah dari-Nya, doa dan terus berdoa. Kita tak mungkin dapat melupakan apa yang terjadi pada jalan hidup kita tetapi kita boleh memaafkan diri kita atas apa yang berlaku.

Benar sekali, setiap aturan dan hikmah dari Allah itu sentiasa Indah. Walaupun kadangkala ia disebalik ujian yang berat, rancangan-Nya adalah yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Aturan Allah itu sangatlah indah.
Setiap yang terjadi punya hikmah.
Kadangkala kemanisan itu datang.
Menelan pahit dan lalu hilang.
Cuma hati yang perlu bersabar.
Yakin dengan Allah.
Senyumlah selama termampu.
Berjalanlah selagi terlarat.
Bila lelah penat memeluk asamu.
Berhentilah dan renungkan KalamNya dengan jiwa erat.
Hidup tak selalu bahagia.
Namun tak selama kekal hina.
Asal saja kita punya cinta ...
Allah akan sentiasa ada untuk sang hamba yang sentiasa mencari jalan pulang ke pangkuanNya.
Senyumlah wahai wajah ..
Kerana ia mampu membahagiakan
orang-orang disekeliling kita.
Senyumlah wahai wajah ..
Meskipun diri sendiri berada dalam kedukaan.
Orang yang hebat itu ..
Mampu balut luka hati dengan sabar.
Orang yang hebat itu ..
Mampu menahan diri dengan istighfar.
Orang yang hebat itu ..
Mampu menghapus dendam dengan maaf.
Orang yang hebat itu ..
Mampu menerima ketentuan Allah dengan redha.
Alhamdulillah ♥️

Sepuluh bulan telahpun berlalu. Balasan kejahatan akan dibalas dengan kejahatan, manakala kebaikan yang diberikan akan dibalas pula dengan kebaikan. Sentiasalah berbuat baik dengan sesiapa sahaja. Kita punya keluarga kecil yang perlu dijaga, segala kebaikan yang dilakukan niatkan yang terbaik buat keluarga kecil kita. 

Kehidupanku seperti biasa, Allah menunjukkan satu demi satu perkara yang mungkin tak terjangka akan berlaku dan boleh berlaku, semuanya Dia tunjukkan 1 per 1. Bukan pula aku berbahagia dengan apa yang terjadi kepada mereka_tetapi juga dibalik yang terjadi flashback karma itu sering berada di ingatan. Semoga yang baik-baik saja buat mereka semuanya. Teruntuk diri yang tersayang, teruskan sebarkan kebaikan semampu yang dapat diberikan kerana tiada tarikh akhir untuk tempat ini berakhir di sini. Yang pasti, buatlah kebaikan dengan sentiasa memegang satu ayat cinta dari-Nya :

Surat Ar-Rahman Ayat 60

هَلْ جَزَآءُ ٱلْإِحْسَٰنِ إِلَّا ٱلْإِحْسَٰنُ

Arab-Latin: Hal jazā`ul-iḥsāni illal-iḥsān

Artinya: Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).

Referensi: https://tafsirweb.com/10408-surat-ar-rahman-ayat-60.html