Ahad, 8 Januari 2017

Bicara soal Perkahwinan...

"Apa matlamat perkahwinan bagi awak?"

Bila soalan itu dilontarkan, dia terdiam.

Baru terfikir barangkali.

"Mahu ke syurga bersamanya kan?"

Dia angguk.

"Tapi bukan senang untuk melangkah berdua bersama-sama.

Sedangkan melangkah kaki sendirian ke masjid pun berat, inikan pula berdua jika yang tak pernah angkat kaki ke rumah Allah.

Sedangkan nak sujud dahi ke sejadah waktu qiam pun boleh bilang dengan jari sendirian di tengah malam, inikan pula nak gerak pasangan di sebelah yang tengah nyenyak dalam lena.

Sedangkan hati dan jiwa sering tidak sabar, mudah marah dan emosi bila dicuit ujian masa penat belajar, penat menunggu bas, penat buat kerja rumah, mudah merajuk dengan mak ayah.

Inikan pula nak sabar dengan pelbagai kerenah pasangan yang berbeza."

Saya beritahu begitu, riak wajahnya nampak tidak bersetuju.

"Tak mengapa, semuanya boleh berubah lepas kahwin. Dia didik saya, saya nasihati dia. Bukankah pernikahan itu saling melengkapi?"

"Ya, itu tak dinafikan. Suami sebagai pembimbing buat isterinya. Tapi cuba lihat si ayah, mudahkah didik anak perempuannya dari kecil untuk solat, tutup aurat, ikut syariat hingga dewasa?

Ia memerlukan masa kan?

Kalau ada yang berubah tiba-tiba 360 darjah dalam masa sebulan kahwin, saya tak rasa itu perubahan yang kekal lama.

Sekejap sahaja, nanti dia akan kembali pada perangai lama semula.

Masing-masing ada tabiat tersendiri, ia bukan mampu diubah dalam masa sehari. Sebulan belum tentu, Setahun pun tak dijamin. Bergantung pada proses didikan dan bimbingan.

Bukan mudah suami nak dengari nasihat isteri jika tidak pandai berhikmah kata, bukan mudah isteri nak ikut cakap suami jika tak kena dengan lagunya."

Dia diam lagi.

Saya biarkan dia berfikir, dan fikiran saya juga turut terbang hingga ke akhirat.

"Jadi, bagaimana nak sampai pada matlamat?"

"Jika benar-benar seorang muslim ingin bernikah kerana Allah, segalanya akan dilakukan selari dengan kehendak Allah.

Sedaya upaya lakukan yang terbaik kerana Allah. Buktikan dengan amal soleh di sisi-Nya.

Bukan dengan semakin tenggelam dengan hawa nafsu perasaan semata. Bukan dengan buat apa yang kita suka sahaja. Tapi apa yang Allah suka tak mahu ikut pula.

Jika kelak rumahtangga dibadai ujian hebat, iman tidak gentar bergolak.

Keduanya akan sama-sama kembali pada Allah, kerana asas permulaannya mereka mulakan dengan Allah.

Namun jika permulaan itu rapuh, maka tiang rumah juga mudah bergoyang bila ditiup dengan angin dugaan.

Esokkan bila bergaduh, jangan tanya 'Kenapa awak kahwini saya?

Jangan jawap 'Hanya sebab saya cintakan awak.'

Kerana cinta mudah musnah bila hilang rasa tenang, rasa bahagia.

Tapi jika kerana Allah saya menikah, maka cinta itu akan tetap utuh dan teguh bertahan kerana Allah. Cinta itu selari dengan tanggungjawab, tunaikan hak pada yang berhak."

Dia mulai mengerti.

"Awak cakap macam awak dah ada pengalaman je."

Saya tergelak kecil.

"Apakah perlu terjun dalam laut dulu baru tahu laut itu masin dan dalam?"

"Belajarlah dari pengalaman hidup orang. Tanyakan pada mereka tak perlu banyak-banyak soalan.

Hanya tanyakan apakah matlamat perkahwinan baginya? Dan apakah yang sedang dia siapkan untuk sampai pada matlamat itu?"

"Ketahuilah, di saat kita sedang teruja untuk bernikah, ada yang sedang retak menanti belah, sedang hebat dilanda cerai dan talak, sedang hebat bermandi air mata dengan sikap pasangan.

Tiada orang yang ingin duka, semua inginkan bahagia dalam rumahtangganya.

Namun jika tidak kena caranya seperti agama, meranalah jiwa sedangkan begitu indah Allah jadikan berpasangan dan pernikahan untuk cepat sampai pada syurga-Nya."

"Boleh bagi sifir mudah? Kesimpulan dari semua ini?"

"Taqarrublah pada Ilahi. Itu jalan bahagia hakiki. Bila kita dekat dengan Tuhan, tiadalah DIA biarkan urusan kita uruskan sendiri dengan ikut kata hati.

Akan nanti DIA atur satu-satu dengan penuh cermat dan teliti. Akan nanti kita akan berpaut kuat dengan DIA selalu berada di sisi."

"Syukran awak."

Saya senyum.

"Tenang-tenanglah dengan janji Ilahi.

*** ** ***
Membaca Tulisan : Al-Arifi

Bait Muslim K.ngah & Abg Ngah

0 comments: