Jumaat, 15 Ogos 2014

Di manakah Posisiku dalam Perjuangan Ini ?

Seuntai kata selaut rasa. Saya Cintai Perjuangan Fisabiilillah!

Alhamdulillah..bakal menjejakkan kaki lagi ke bumi murabbi dengan niat yang segar dan baharu dengan Izin Nya bagi menyambung pengajian di Tahun 2. Kaki pejuang yang melangkah hanya kerana Allah adalah lebih baik berbanding kaki pejuang yang melangkah kerana harta dan dunia. Islam itu Syumul dan tidaklah ia menyisihkan medan perjuangan dalam menegakkan Kalimah Tauhid. Perjuangan ini bukan hanya memerlukan kepada tahu sahaja, akan tetapi perjuangan merupakan medan yang perlu difahami bagi setiap pejuang-pejuang yang melangkah untuk berjuang hanya Kerana Allah semata.

Sebagai muslimah, mujahidah, mukminah, juga akan diuji dengan ujian yang paling berat iaitulah ujian hati, ketepikan ia seketika dan fokus kepada kesibukan berjuang. Laa budda 'alayya aidhan. Saya cuba untuk mengatakan bahawa saya menCintai Perjuangan ini! Di sini, ana sertakan artikel khusus untuk para mujahidah mengukur dan memuhasabah kembali jalan yang sedang dilalui. Di manakah posisi kita dalam perjuangan ? Baca dan hayati. Amalkan...



Inilah antara sebab kenapa perlunya muslimah zaman ini untuk turun ke lapangan masyarakat, perlu mengetahui perkembangan dunia, bukan hanya duduk dan berbincang soal hati dan luahan jiwa semata-mata yang sering menjadi perbualan apabila berjumpa di alam realiti atau alam maya.

Saya tidak sedikitpun menyangkal soal perlunya muslimat sebagai “back bone” atau tulang belakang dalam pembinaan sesebuah keluarga. Mempunyai sebuah keluarga bahagia, 'mawaddah' dan 'rahmah' yang didasari Iman dan Taqwa, duduk di rumah, mendidik dan membesarkan anak-anak dihadapan mata, adalah impian semua muslimah hari ini. Namun, bagaimana mungkin, muslimah hari ini mampu mendidik anak-anak sesuai dengan zamannya, sekiranya muslimah itu sendiri tidak punya informasi tentang kondisi zaman dan realiti yang berlaku di luar hari ini.

Apatah lagi untuk menyelami dan mengetahui isu semasa, penyakit dan 'virus' yang sedang melanda masyarakat dewasa ini. Bukan semata-mata teori pendidikan anak-anak yang dipelajari. Tetapi sebenarnya sinergi antara teori didikan dengan realiti masyarakat bakal menatijahkan didikan yang lebih membumi seperti pendekatan Saidina Ali dalam kalamnya berbunyi: “Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya". Bukankah didikan acuan Rasulullah s.a.w, ini yang kita mahukan?

Tidak salah untuk para muslimah bersedia untuk masa depan, bahkan ianya sangat-sangat dituntut, tetapi, bagaimana dengan masa sekarang? Yang Allah kurniakan sebagai medan latihan sebelum benar-benar menempuh realiti amanah yang Allah berikan? Tidakkah kita sedar bahawasanya masa sekarang juga adalah amanah ke arah pengislahan masyarakat?

Pun begitu, keterlibatan muslimah dalam medan masyarakat tidak sesekali melepaskan tanggungjawabnya dalam keluarga. Ya, tanggungjawab mengurus rumah tangga tidak dapat tidak adalah prioriti, dan disebabkan itulah, pengurusan muslimat hari ini perlu lebih mantap dan hebat dalam memastikan keluarga terjaga dan masyarakat terbela. Janganlah yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Oleh yang demikian, bermula saat ini, perlunya muslimat untuk belajar mengurus kehidupan sebaiknya.Termasuk memahirkan diri masing-masing dalam pengurusan diri, pengurusan akademik, pengurusan keluarga, pengurusan jati diri, pengurusan emosi dan juga pengurusan organisasi.

Bagaimana? Hakikat ini telah pun diolah oleh sahabat saya, Saudari Nurul Shifaah dalam artikel beliau bertajuk “Mempersiapkan Mahasiswi Sebelum Bergelar Isteri dan Ibu”. (Boleh dirujuk dalam web GAMIS : www.gamismalaysia.com)

Justeru, bermula saat ini, perlunya muslimah untuk belajar terjun ke lapangan ummah, bagi membiasakan diri dalam proses pembelajaran mengurus masa 24 jam yang sangat berharga, untuk keluarga dan masyarakat, dan lagi hebat jika berkerjaya. Usah kita jadi orang yang berjaya menjadi suri rumahtangga, tetapi tidak mempedulikan isu ummah, lebih teruk lagi jika berjaya menyibukkan diri dalam pengislahan masyarakat tapi gagal dalam pengurusan rumahtangga. Jadilah kita muslimah yang mampu menyeimbangkan antara kedua-duanya. Perlu diakui, keterlibatan muslimah dalam masyarakat, tetap ada hadnya. Muslimah, fitrahnya lemah, namun jiwanya kental, semangatnya utuh, lihat sahaja sirah, kekuatan jiwa muslimah tidak pernah diketepikan, inilah yang kita perlukan dalam sinergi dakwah yang lebih padu dan diterima masyarakat.

Sentuhan kelembutan, belaian kasih-sayang, menggunakan aspek emosi dalam menyentuh hati masyarakat, yang tidak mampu dilakukan kaum adam, lebih-lebih lagi diperlukan dalam dakwah.

Tahankah kalian untuk melihat mereka yang tidak mengamalkan Islam secara keseluruhan mengambil alih hal ehwal negara? Sanggupkah kita melihat ummah yang dahaga mengenal Allah, kita abaikan? Sampai bila kita, yang mengaku seorang muslimah sanggup membiarkan manusia terus lemas dalam nafsu keduniaan? Tidakkah ada walau sekelumit rasa tanggungjawab untuk berkongsi kemanisan nikmat Iman dan Islam yang Allah anugerahkan pada kita saat ini? Tidakkah ianya juga satu manifestasi kesyukuran kepada Ilahi?

Wanita dan anak muda hari ini lebih berkiblatkan Barat dalam banyak aspek, dimanakah kita dalam memainkan peranan mengembalikan cara hidup Islam? Jika wanita Israel cukup berani dan lantang dalam membunuh serta menindas wanita Palestin, masih sanggupkah kita duduk berdiam diri dan hanya memikirkan masa depan kita semata-mata?

Saya bawakan sebuah kisah, bagaimana peranan seorang mujahidah, yang sangat kuat pergantungannya pada Ilahi, sangat menjaga hubungan dengan Rabb-Nya, sangat tinggi kecintaan kepada Rasulnya, sangat tinggi semangat juangnya, sehingga mampu melahirkan para mujahid yang tak gentar malah cukup hebat semangat jihadnya. Ummu ‘Umarah, Nusaibah Binti Ka’ab, seorang antara dua orang wanita yang terlibat dalam Bai’at Aqabah, bersama suami dan dua orang puteranya. Beliau juga wanita yang terlibat dalam perang Uhud sehingga terputus tangannya, kerana mempertahankan Rasulullah, bersamanya dalam perang itu adalah puteranya, ‘Abdullah. Semangat jihad yang tinggi mengalir dalam diri seorang lagi puteranya, Habib Bin Zaid dipotong kedua tangan dan kakinya, dan dibakar hidup-hidup kerana mempertahankan kalimah tauhid. Nah, tidakkah kalian terfikir, bagaimana mungkin lahirnya mujahid sekental ini jika ibunya tidak menjadi muslimat realiti pada zaman tersebut?

Saya seru diri saya dan semua Muslimah menyedari akan tanggungjawab ini, menyebar luas dakwah, kerana firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali Imran: "Kamulah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan dari kalangan manusia yang mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran..."

Buka hati, buka minda, fikirkan sebaiknya.Takutlah dengan azab Allah andai kita yang tahu ini tidak menunjukkan pada yang tidak tahu. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Semoga kitalah muslimah yang berada pada zamannya.Yang menguasai ilmu rumahtangga dan juga srikandi setia.Tak leka dengan tanggungjawab apatah lagi amanah dunia. Insya Allah. Ayuhlah semua muslimah kita bangkit dan serulah ummah yang lapar dengan ilmu yang tandus dengan agama!

P/s : rumahtangga disini membawa kepada dua maksud, jika dah berkahwin, suami dan anak-anak, jika belum, ibubapa dan adik-beradik. Ingat! Kita takkan terlepas dari tanggungjawab rumahtangga, walau apa jua status kita.

Rujukan : 1) Ibunda Para Ulama' (Sufyan bin Fuad Baswedan)
2) Fiqih Dakwah Ummahatul Mukminin Jilid 1 (Dr Khalid bin Muhammad)

Diambil dari meja Penulis; Timbalan Exco Majlis Dakwah GAMIS.Illeya Ibrahim.

0 comments: