Sayyidah Nafisah ialah salah seorang keturunan
Rasulullah s.a.w.. Beliau puteri Imam Hasan al-Anwar bin Zaid al-Ablaj bin Imam
Hasan bin Imam Ali r.a.. Beliau lahir di Makkah, pada 11 Rabiulawal 145H, hidup
dan besar di Madinah.
Hijrah Ke Mesir
Demi keamanan dan ketenangan hidup Sayyidah
Nafisah berhijrah ke Mesir bersama suaminya, Ishaq al-Mu'tasim bin Ja'far
as-Siddiq, pada tahun 193H, setelah sebelumnya ziarah ke makam Nabi Ibrahim
a.s.. Di Mesir beliau tinggal di rumah Ummi Hani’.
Sayyidah Nafisah menetap di Mesir selama 7
tahun. Penduduk Mesir sangat menyayanginya dan percaya akan karamahnya. Mereka
selalu berduyun-duyun mendatanginya, berdesakan mendengarkan mauizahnya dan
memohon doanya. Hal ini membuat suaminya berfikir untuk mengajaknya pindah ke
tanah Hijaz, namun beliau menolak dan menjawab: “Aku tidak bisa pergi ke Hijaz
kerana aku bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w.. Beliau berkata kepadaku:
"Janganlah kamu pergi dari Mesir kerana nanti Allah akan mewafatkanmu di
sana (di Mesir).”
Peribadinya
Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat
kuat beribadah kepada Allah. Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada
malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al
Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut
dengan kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya rindu dengan syurga Allah dan
sangat takut dengan syurga Allah. Disamping itu Sayyidah Nafisah sangat taatkan
suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan suaminya dengan
sebaik-baiknya.
Sayyidah Nafisah adalah seorang yang terkenal
zuhud dan mengasihi manusia yang lain. Pernah satu ketika, beliau menerima wang
sebanyak 1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya. Beliau telah
membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki
rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk
kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah
dermawannya Sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin.
Keutamaannya
Sayyidah yang mulia ini sudah mendapatkan
keutamaan sejak kecil lagi. Suatu ketika, demikian al-Hafiz Abu Muhammad dalam
kitabnya Tuhfatul Asyraf bercerita: Al-Hasan, ayahanda Sayyidah Nafisah membawa
Nafisah semasa kecil ke makam Rasulullah s.a.w.. Di sini sang ayah berkata :
"Tuanku, Bagindaku Rasulullah, ini puteriku. Aku redha dengannya. Kemudian
keduanya pulang. Di malam hari sang ayah bertemu Rasulullah bersabda:
"Wahai Hasan Aku redha dengan puterimu Nafisah kerana keredhaanmu itu. Dan
Allah SWT juga redha kerana redhaku itu.
Salah satu keutamaan Sayyidah Nafisah adalah
selama hidupnya beliau telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 4000 kali. Selain
itu, meskipun tinggal jauh dari tanah suci, beliau melakukan ibadah haji
sebanyak 17 kali.
Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie
Sejarah sepakat mengatakan bahawa Sayyidah
Nafisah semasa dengan Imam Syafie. Sayyidah Nafisah sentiasa memuji Imam Syafie
diatas kesempurnaan wudhu yang dilakukan oleh Imam Syafie. Keduanya saling
menghormati. Di ceritakan bahawa Imam Syafie meriwayatkan hadis dari Sayyidah
Nafisah. Setiap berkunjung ke kediaman Sayyidah Nafisah Imam Syafie dan
pengikutnya sangat menjunjung tinggi adab sopan santun terhadap beliau.
Imam Syafie setiap kali tertimpa penyakit
selalu mengirim utusan ke Sayyidah Nafisah agar berkenan mendoakannya dengan
kesembuhannya. Dan benar, setelah itu Imam Syafie mendapatkan kesembuhan.
Ketika Imam Syafie tertimpa penyakit yang menyebabkan beliau wafat, Sayyidah
Nafisah berkata pada utusan Imam Syafie: "Semoga Allah memberikan
kenikmatan pada Syafie dengan melihat wajahNya yang mulia.”
Karamahnya
Sebelum menceritakan karamah-karamah Sayyidah
yang mulia ini, perlu diketahui bahwa suami Sayyidah Nafisah (Ishaq bin al
Mu'taman bin Ja'far ash Shadiq) pernah berkeinginan untuk memindah makam beliau
ke pemakaman Baqi' (Madinah). Kemudian penduduk Mesir meminta suami Sayyidah
Nafisah untuk mengurungkan keinginannya, kerana penduduk Mesir ingin
mendapatkan berkah darinya. Akhirnya, pada suatu malam suami Sayyidah Nafisah bermimpi
bertemu Rasulullah s.a.w.. Rasulullah bersabda, "Wahai Abu Ishaq,
janganlah kamu menentang keinginan penduduk Mesir, karena Allah akan memberikan
berkahNya kepada penduduk Mesir melalui Sayyidah Nafisah".
Di antara karamahnya ialah ketika pembantu
Sayyidah Nafisah yang bernama Jauharah keluar rumah untuk membawakan air wudhu
untuk beliau, pada waktu itu hujan deras sekali. Akan tetapi, tapak kaki
Jauharah tidak basah dengan air hujan.
Di antara karamahnya juga ialah, ada sebuah
keluarga Yahudi yang tinggal di dekat kediaman Sayyidah Nafisah di Mesir.
Keluarga itu mempunyai seorang anak perempuan yang lumpuh. Suatu ketika ibu
anak itu berkata: "Nak, kamu mahu apa ? Kamu mahu ke kamar mandi ?. Si
anak tiba-tiba berkata: "Aku ingin ke tempat perempuan mulia tetangga kita
itu.” Setelah si ibu minta izin pada Sayyidah Nafisah dan beliau
memperkenankannya, keduanya datang ke kediaman Sayyidah Nafisah. Si anak
didudukkan di pinggir rumah. Ketika datang waktu solat Zuhur, Sayyidah Nafisah
beranjak untuk berwudhuk di dekat gadis kecil itu. Air wudhuk beliau mengalir
ke tubuh anak tersebut. Seperti mendapatkan ilham anak itu mengusap anggota
tubuhnya dengan air berkah tersebut. Dan seketika itu juga ia sembuh dan bisa
berjalan seperti tidak pernah sakit sama sekali.
Kemudian si anak pulang dan mengetuk pintu.
Pintu dibuka oleh ibunya. Dengan hairan dia bertanya: "Kamu siapa Nak?”
“Aku puterimu.” Sambil memeluk si ibu bertanya bagaimana ini bisa terjadi. Si
anak kemudian bercerita dan akhirnya keluarga itu semuanya masuk Islam.
Selain itu, pernah suatu ketika sungai Nil
berhenti mengalir dan mengering. Orang-orang mendatangi Sayyidah Nafisah dan
memohon doanya. Beliau memberikan selendangnya agar dilempar ke sungai Nil.
Mereka melakukannya. Dan seketika itu juga sungai Nil mengalir kembali dan
melimpah.
Karamah-karamah beliau setelah wafat juga
banyak. Di antaranya, pada tahun 638H, beberapa pencuri menyelinap ke masjidnya
dan mencuri enam belas lampu dari perak. Salah seorang pencuri itu dapat
diketahui, lalu dihukum dengan diikat pada pohon. Hukuman itu dilaksanakan di
depan masjid agar menjadi pelajaran bagi yang lain. Pada tahun 1940, seseorang
yang tinggal di daerah itu bersembunyi di masjid itu pada malam hari. Ia
mencuri syal dari Kasymir yang ada di makam itu. Namun, ia tidak menemukan
jalan keluar dari masjid itu dan tetap terkurung di sana sampai pelayan mesjid
datang di waktu subuh dan menangkapnya.
Wafatnya
Al-Sakhawi bercerita, "Ketika Sayyidah
Nafisah merasakan ajalnya sudah dekat, beliau menulis surat wasiat untuk suaminya,
dan menggali kubur beliau sendiri di rumahnya. Kubur yang digalinya itu ialah
untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Kemudian beliau turun ke
liang kubur itu, memperbanyak solat dan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 109
kali. Kalau tidak mampu berdiri, beliau solat dengan duduk, memperbanyak tasbih
dan menangis. Ketika sudah sampai ajalnya dan beliau sampai pada ayat: “Bagi
mereka (disediakan) tempat kedamaian (syurga) di sisi Tuhannya dan Dialah
Pelindung mereka disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan.”
(Surah Al-An’am: 127), beliau pengsan kemudian dan menghembuskan nafas terakhir
menghadap Sang Maha Kasih Abadi pada hari Jumaat, bulan Ramadhan 208H.
Sewaktu disembahyangkan sangat ramai orang yang
menghadirinya. Sehingga kini maqamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh
pelusuk dunia. Demikian kehebatan yang Allah anugerahkan kepada Sayyidah
Nafisah yang terkenal dengan kewarakan kepada Allah dan ketaatannya kepada
suami. Semoga ianya menjadi contoh buat generasi wanita akhir zaman ini.
0 comments:
Catat Ulasan